Isnin, 5 Mei 2014

“Al-Hin”, Makhluk Sebelum Nabi Adam A.S

“Al-Hin”, Makhluk Sebelum Nabi Adam A.S
“Al-Hin”, Makhluk Sebelum Nabi Adam A.S
Jom baca kisah seorang pengamal perubatan Islam yang merawat seorang pesakit yang telah dirasuk oleh satu makhluk yang dinamakan Al-Hin..
Dua minggu yang lalu, saya didatangi sepasang suami isteri dan seorang anak lelaki di RIDAM. Pesakitnya adalah anak lelaki mereka.
Dari perbualan sebelum rawatan, si bapa menceritakan bahawa sudah banyak tempat sudah di kunjungi. Boleh dikatakan hampir setiap perawat yang muncul dalam Expose Mistik dan Rancangan Alam Ghaib sudah di bawa. Semuanya belum ditemui penawarnya.
Luahan tersebut membuatkan saya tersenyum. Lantas, saya katakan pada mereka sekeluarga bahawa mungkin masih belum ada rasi ubat . Kalau dah jodoh ubat dengan penyakitnya, insyaallah, sembuh lah penyakitnya..
Simptom gangguan pada pesakit hanya berlaku pada malam hari iaitu ketika waktu bulan mengambang sahaja. Pada waktu tersebut, pesakit akan merenung bulan kemudian menangis. Begitulah yang berlaku setiap bulan..
Maka, saya ambil pendekatan segera dengan teknik scan dan hampa kerana tidak dapat mengesan sebarang jenis gangguan pada lelaki tersebut.. Aiii…hairan sungguh.. lelaki tu nampak normal jer..
Lama saya dok termenung ketika berdepan dengan situasi tersebut, saya teringat pada Allahyarham Tok Ngah ketika berhadapan dengan kes yang hampir sama. Kata beliau, mungkin badan tengah kotor. Akibatnya, konsentrasi tiada.. Kan sunat kalau bersih. Apatah lagi kalau harum semerbak…
Lalu, saya minta izin pada pesakit untuk berehat sebentar. Sebenarnya, saya ingin mandi kerana baru teringat, saya baru saja selesai mengelap kipas syiling sebaik sahaja keluarga pesakit tiba di RIDAM. Selepas mandi, saya pakai wangian agar diri harum semerbak..
Setelah itu saya ke ruang rawatan untuk menyambung tugas rawatan. Ketika duduk berhadapan pesakit, tiba-tiba…
Pesakit: Ermm..wanginya… lama dah tak bau macam ni.. Kamu pakai minyak wangi apa ni..?
Kelihatan suara pesakit berlainan. Maka saya yakin, ketika itu, pesakit sedang kerasukan.
Saya: Minyak atar 1001 Malam. Tak pernah bau ker?
Pesakit: Pernah.. Tapi dah lama tak bau macam ni.. Masa kat Andalusia pernah la.. Harum betul baunya. Boleh bagi aku sikit?
Saya: Boleh.. Tapi kena kerjasama la.. Setakat minyak wangi, apalah sangat..
Seraya itu dia tersenyum dengan kata-kata saya..
Pesakit: Boleh..tapi aku tak suka orang belagak.. Kalau kamu boleh cakap dengan aku elok-elok, tanya lah apa kamu nak. Dengan nama Allah, aku tak akan tipu.
Saya: Ish…tak baik kamu main sumpah-sumpah macam tu.. Nanti makan sumpah baru tahu..Kamu ni Jin Islam ker?
Pesakit: Kenapa aku nak takut. Aku cakap jujur la ni.. Memang aku sembah Allah, tapi aku bukan Islam….
Saya: Hah…sembah Allah tapi bukan Islam..? Agama apa kamu ni?
Pesakit: Agama Monoteisme
Saya: Agama apa tu..?
Pesakit: Agama yang satu la.. Tuhan hanya satu yakni Allah…Tak sekolah ker?
alhin
*Terkena jugak RIDAM..
Saya: Kamu jangan main-main pasal agama ni…!..Kang….
*Masa tu tangan kanan dah diangkat..rasa nak lempang jer…
Pesakit: Aku tak tipu lah…Aku bukan Jin, Syaitan atau Malaikat..Aku Poppy..Nama aku Mizari
*Tangan saya tak jadi di angkat. Terasa hendak tahu pula apa cerita berikutnya..
Saya: Poppy..? Makhluk apa tu..?
Pesakit: Wahai hamba Allah…banyak lagi rahsia Allah yang kamu belum tahu.. Bukan semua rahsia boleh dicapai dengan akal manusia..
Saya: Ceritakan…aku nak tahu..
Pesakit: Aku wujud sebelum kaum jin diciptakan lagi… Sebelum banyak puak kami di binasakan Allah kerana kesalahan kami sendiri..
Kemudian dia menangis teresak-esak..
Pesakit: Puak kami dah kurang dari 1000.. Mungkin kerana kesalahan yang kami lakukan, kami tidak diizinkan Allah untuk melahirkan zuriat kami….
Terduduk saya mendengar cerita si Mizari… Baru saya teringat akan sebuah buku yang dibaca karangan Isa Dawud.. Cerita yang diberitahu menepati penerangan yang diberitahu dalam buku tersebut..
Saya: Kalau begitu, betul kah nama golongan kamu ini adalah Al-Hin?
Seraya itu dia mengangguk..
Pesakit: Al-Hin adalah nama makhluk.. Kami hidup berpuak-puak.. Aku dari puak Poppy..Ada lagi musuh puak aku iaitu Neondertal. Nama puak lain banyak, tapi aku dah lupa….
Saya: Apa yang puak kamu buat sampai Allah murka?
Dia terdiam sejenak..
Pesakit: Apa yang kamu tengok kemaksiatan dan kerosakan manusia hari ini, itulah yang kami buat dulu.. Tapi hari ini aku tengok, kerosakan manusia lagi hebat dari apa yang kami lakukan dulu…
Saya: Wahai makhluk Allah, aku tiada kuasa untuk lakukan apa pun pada kamu kecuali dengan izin Allah.. Tapi boleh aku tanya, kenapa aku tak dapat Scan kau tadi? Mana kau menyorok?
Pesakit: Aku tak pergi mana-mana. Memang dari tadi aku dalam badan ni. Jangan kau kecil hati pulak.. Setakat ini, dengan izin Allah, puak aku belum dapat di scan mana-mana perawat pun ketika mereka berubat. Mungkin kerana ada sebab yang kau dan aku sendiri belum tahu kecuali Allah…

Saya: Dah tu, sekarang ni kamu boleh bercakap dengan aku..macam mana pulak tu?
Pesakit: Itu kerana aku sendiri yang nak bercakap dengan kamu.. Bukan semua tau aku suka manusia…Aku nak duduk dengan kamu boleh? Kalau kamu izin kan la..
Saya: Tak payah la…aku selesa dengan sesama manusia.. kamu tak marah kan..?
Pesakit: Tak la..buat apa aku nak marah.. Kamu ada hak atas diri kamu..
Saya: Erm..boleh kamu bagi sebab..kenapa kamu duduk dengan budak ni?
Pesakit: Sebab dia kasi aku duduk dengan dia…
Dari badan pesakit tersebut, Mizari menceritakan penemuannya dengan budak tersebut ketika dia berjumpa di sebuah pusat rekreasi di Selatan tanahair. Katanya lagi, budak tu tak takut dengan dia..
Cerita tersebut disahkan bapanya. Memang anaknya ada mengikuti kursus kadet di tempat tersebut..
Saya: Wahai makhluk Allah, aku bukanlah dikalangan orang alim untuk mendakwah kamu. Tapi sudi tak kalau kau masuk Islam?
Pesakit: Maaf ya..Aku masih yakin dengan agama ku. La ikra hafiddin kan…?
Saya: Memang lah..tapi agama akhir zaman kan Islam..Kalau kamu menyembah Allah, kenapa tidak kamu ikuti agama akhir zaman ni..?Agama yang disuruh dan dijamin Allah…
Pesakit: ku tahu…tapi aku bukan dari Jin dan Manusia.. Tiada satu pun nama kaum aku dalam Al-Quran…
Lalu di bacakan ayat surah Adz-Dzariyaat:56
Maksudnya:
Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.
Pesakit: Jadi, aku yakin dengan pegangan aku sekarang.. Aku tidak pernah menduakan Allah..
*Tidak ada apa yang mampu saya katakan padanya. Kelu saya bila mendengar hujahnya..
Saya: Kalau begitulah kata kamu, tiada apa yang mampu aku katakan lagi.. Tapi, dengan nama Allah, boleh tak kamu keluar dari badan anak ini? Kesian aku tengok mak bapak budak ni.. Kamu tak rasa kesian ker..?
Pesakit: Kesian jugak.. Banyak jugak la duit diorang habis pergi berubat.. Demi Allah, aku memang nak keluar, tapi, belum masanya lagi…
Saya: Dah tu, bila agak-agak kamu masa tu sampai..?
Pesakit: Sekarang..tapi dengan syarat..
Saya: Apa syaratnya? Kalau boleh mensyirikkan, aku tak nak la..
Pesakit: Aku nak salam kedua mak bapak budak ni..Aku nak mintak maaf sebab susahkan diorang. Lepas tu, aku nak kau doakan agar Allah pendekkan nyawa aku…boleh?
Saya: Syarat yang pertama tu insyaallah, boleh (kedua ibu bapa pesakit mengangguk sama).. Tapi, pelik la dengan syarat kedua tu..Kenapa?
Pesakit: Ada tak bapak budak ni cerita perangai pelik anak nya ni masa sakit tadi?
Saya: Yang mana? Yang suka tengok bulan mengambang tu ker?
Pesakit: Yelah…kamu tak nak tahu kenapa aku suka tengok bulan?
Saya: Aah…kenapa?
Pesakit: Aku tengah kira umur aku la tu…Kiraan masa aku sama macam kalendar Islam.. Puak kami mana pakai Kalendar masihi…
Saya: Oooo..tapi kau tak jawab lagi soalan kedua tu..
Pesakit: Sabar lah..maksud aku, aku kira umur untuk tahu hayat aku.. Dah lama sangat aku hidup.. Sunyi betul hidup aku…Aku nak kamu doakan agar Allah pendekkan hidup aku sebab aku dah hidup lama sangat…
Saya: Ooo…macam tu..Berapa dah umur kamu?
Pesakit: Sikit jer…baru 4 juta 130 ribu tahun..
Saya: Mak aiiii…lama nya kau hidup..
Pesakit: Betul..sebab tu aku nak kau doakan aku..
Saya: Insyaallah, kalau itu yang kau nak…Tapi, aku nak tanya soalan terakhir ni..Boleh?
Pesakit: Tadi kata suruh aku keluar…? Ni makin banyak tanya pulak ni..Hah..apa dia?
Saya: Boleh tak aku tengok kamu…Rasa nak tengok jer diri kamu tu…
Pesakit: Boleh dengan izin Allah…kau baca Surah Al-Kautsar 1000 kali sebelum tidur…Mintak pada Allah nak tengok aku.. Bukan aku yang izin..Allah yang izin.. Sekarang, boleh aku keluar..?
Saya: Dipersilakan wahai hamba Allah..Moga kamu tergolong dalam orang-orang yang beriman..
Sebelum dia keluar, dia mencium tangan kedua ibu bapa pesakit dan meminta maaf pada mereka.. Sekitar 5 minit selepas itu, pesakit tersedar.. Kelihatan penat dan lelah yang dialami akibat tenaga tubuh yang diguna oleh makhkluk lain..
Hanya sebagai syarat asas rawatan, saya bekalkan air dan limau rukyah untuk dibuat mandi dan minuman di rumah.. Pesakit pulang selepas itu..
———
3 hari kemudian, bapa pesakit menelefon saya dan mengatakan anaknya sihat sepenuhnya.. Dia mengajak saya ke jamuan doa selamat di rumahnya sebagai tanda kesyukuran dan nazar yang diniatkan..
———-
Saya juga telah mengamalkan apa yang dikatakan oleh Mizari.. Alhamdulillah, saya dapat melihat parasnya..
Badannya berbulu putih, berwajah manusia yang tampan dan bersayap… Wallahualam.. Mungkin itu mainan mimpi….
Sekian..

Khamis, 1 Mei 2014

Pasukan Latihan Pegawai Simpanan(PALAPES)



PASUKAN LATIHAN PEGAWAI SIMPANAN (PALAPES).

Pasukan Latihan Pegawai Simpanan atau juga dikenali dengan singkatan PALAPES yang dulunya dikenali sebagaiROTU (Reserve Officer Training Unit) adalah satu program kerjasama di antara Kementerian Pertahanan Malaysia dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (kini Kementerian Pengajian Tinggi) untuk mahasiswa-mahasiswi di Institutsi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Selain untuk melahirkan pegawai simpanan bagi memenuhi keperluan Angkatan Tentera Malaysia, program PALAPES juga menyokong usaha kerajaan dan IPTA untuk membentuk kualiti seorang warganegara yang sempurna, berdisiplin dan mempunyai ciri-ciri mempertahankan kepentingan negara. Seorang pegawai kadet akan dilatih dalam tempoh 3 tahun secara sambilan; di mana latihan biasa yang meliputi subjek-subjek berkaitan ketenteraan akan diadakan pada setiap hujung minggu. Selain daripada itu, latihan lanjutan dan latihan intensif juga akan diadakan setahun sekali secara sepenuh masa selama 3 minggu. Program PALAPES kini merangkumi setiap cabang perkhidmatan dalam ATM iaitu PALAPES Tentera Darat, Tentera Udara dan Tentera Laut. Setiap pasukan PALAPES mempunyai Markas Latihan cawangan masing-masing. Pada masa kini, PALAPES telah ditubuhkan di 12 buah IPTA.

Sejarah
Sejarah awal PALAPES bermula dengan penubuhan penubuhan Batalion Pertama Infantri Askar Wataniah Cawangan Universiti Malaya pada 3 April 1965. Di awal penubuhannya, seramai 30 orang pelajar dari pelbagai fakulti telah menjalani kursus Asas Rekrut di Kem Latihan Seputih, Batu Gajah, Perak, sewaktu cuti semester. Peristiwa 13 Mei menyaksikan kompeni ini dikembangkan ke IPTA lain dengan penubuhan Kompeni A di ITM, Kompeni B di UPM dan Kompeni C di UKM dengan UM menjadi markas Batalionnya. Berikutan sambutan yang menggalakan daripada para mahasiswa, Pengarah Askar Wataniah Brigadier Jeneral Dato’ Abdul As Ismail telah mengambil inisiatif berbincang dengan naib-naib Canselor Universiti dan pengarah ITM pada masa itu ketika itu untuk menubuhkan Reserve Officer Training Unit (ROTU). Pada 18 Disember 1978, Jawatankuasa Turus Angkatan Tentera telah meluluskan penubuhan ROTU dengan objektif utamanya untuk melahirkan pegawai-pegawai tentera sukarela daripada kalangan pensyarah, kakitangan dan mahasiswa di IPTA. Pada 26 Februari 1979, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Turus Tentera darat dan dihadiri oleh naib-naib Canselor Universiti dan Pengarah ITM telah diadakan untuk menubuhkan ROTU di IPTA masing-masing.

Penubuhan PALAPES di IPTA


1 Universiti Kebangsaan Malaysia 1 Julai 1979
2 Universiti Malaya 7 Februari 1980
3 Universiti Pertanian Malaysia 8 Februari 1980
4 Universiti Sains Malaysia 7 Jun 1980
5 Universiti Utara Malaysia 1 Mei 1984
6 Institut Teknologi Mara 8 Februari 1979
8 Universiti Teknologi Malaysia 11 April 1991
9 Universiti Malaysia Sarawak 1 Julai 1997
10 Universiti Malaysia Sabah
11 Universiti Tun Hussein Onn
12 Universiti Perguruan Sultan Idris
13 Universiti Malaysia Perlis 3 Mac 2005 PALAPES terakhir ditubuhkan

Istiadat pentauliahan Pegawai PALAPES

Setelah menjalani latihan berkala secara sambilan selama 3 tahun, lulus peperiksaan yang diadakan oleh pihak ATM melalui Markas PALAPES di IPTA serta mendapat perakuan dari Ketua Jurulatih, Markas PALAPES IPTA sebagai layak untuk ditauliahkan, seorang Pegawai Kadet akan ditauliahkan oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong. Tempat pentauliahan akan diadakan secara bergilir-gilir oleh kesemua IPTA yang terlibat.

ANTARA AKTIVITI YG DIJALANKAN:

A samad said

A. SAMAD SAID
(Abdul Samad bin Muhammad Said, Datuk, Pejuang Sastera, Sasterawan Negara, Hilmy, Isa Dahmuri, Jamil Kelana, Manja, Mesra, Shamsir)
LAHIR : 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka.ALAMAT : 10, Jalan 15/5C, Subang Jaya, 47500 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan.
A. SAMAD SAID, seorang pengarang Melayu yang agak unik dan tersendiri dalam perkembangan penulisannya yang dimulai dengan puisi dan cerpen, kemudian meningkat kepada penulisan novel, drama dan kritikan sastera.  Sejak giat mengarang dalam tahun 1950, beliau telah memperlihatkan kekuatan daya kreatif yang sentiasa berkembang dan lebih bersifat meneroka.  Sumbangan A.  Samad Said kepada kesinambungan kesusasteraan Melayu kelihatan cukup menyerlah kerana beliau ialah penulis yang begitu menonjol dalam perkembangan kesusasteraan Melayu yang menyambungkan ASAS 50 dengan angkatan sesudahnya.
         
Semasa  berumur enam bulan, Samad dibawa oleh keluarganya ke Singapura dan beliau mendapat pendidikan asas dan menengahnya di sana.  A. Samad Said belajar di Sekolah Melayu Kota Raja hingga lulus darjah IV (1940 – 1946) sebelum meneruskan pengajiannya dalam kelas petang di Victoria Institution.  Dari situ, beliau belajar sendiri hingga memperoleh sijil Senior Cambridge (1956).
         
Sejak di bangku sekolah menengah lagi, Samad sudah mulai berkenalan dengan kesusasteraan di dalam dan luar negeri.  Malah, pengarang-pengarang penting di Singapura pun seperti Asraf, Usman Awang, dan Han Suyin telah diketemuinya.  Sajak dan cerpennya mula tersiar sewaktu beliau masih di bangku sekolah. Sebelum terbitnya novel Salina yang mengharumkan namanya, Samad membaca karya-karya Ajip Rosidi, Rendra, Pramoedya, Achdiat, Hamzah dan Wijaya Mala.  Beliau juga membaca novel-novel Barat seperti Oliver Twist, Wuthering Height dan Almayer’s Folly.  Beliau menggunting cerpen-cerpen daripada akhbar tempatan dan mengkajinya sebelum menghasilkan cerpennya.  Kegiatan menterjemah beberapa karya sastera asing juga secara tidak langsung memperkuat minatnya terhadap kesusasteraan.  Segalanya ini membulatkan tekad dan fikirannya untuk berkecimpung dalam bidang penulisan, dan hasilnya, Samad berupaya menghasilkan pelbagai genre: sajak, novel, drama, esei/kritikan dan terjemahan.  Kecenderungannya terhadap dunia sastera telah berakar dan berkembang dalam dirinya sejak kecil lagi apabila beliau selalu mendengar cerita-cerita daripada ibunya.  Daripada pengakuannya yang merendah diri, Samad berkata : “... kalaulah saya diterima sebagai penulis – saya lahir daripada “Batu Belah batu Bertangkup”.  Saya masih tetap mendengar cerita ini walaupun orang yang menceritakannya ketika memandikan saya, menyuapkan makan saya dan menidurkan saya sudah tidak ada lagi.”

Pekerjaan pertama Samad Said ialah sebagai kerani di Hospital Umum Singapura.  Beliau berasa beruntung bekerja di hospital itu kerana amat sukar baginya mendapat kerja di mana-mana pun pada waktu itu.  Tetapi, di hospital itu, beliau tidak lama bekerja dan hanya dapat bertahan selama enam bulan saja.  Samad kemudian berpindah ke Kuala Lumpur untuk bekerja dengan akhbar Fikiran Rakyat  di bawah pimpinan Ahmad Boestamam.  Selepas enam bulan di Kuala Lumpur, beliau kembali semula ke Singapura dan bekerja dengan akhbar mingguan Utusan Zaman  di bawah Usman Awang.  Apabila Syarikat Utusan Melayu berpindah ke Kuala Lumpur dan Usman Awang, Said Zahari, Pengarang Utusan Melayu  waktu itu berpindah sama, Samad Said juga turut berhijrah.  A. Samad Ismail, Pengarang Berita Harian ketika itu, telah memujuk Samad Said agar menyertai Berita Harian.  Di sekitar tahun 1960-an Samad sekali lagi bertukar kerja.  Apabila A. Samad Ismail diberikan tugas lebih besar dalam surat khabar The New Straits Times,  Samad Said pula dilantik menjadi Pengarang Berita Harian.  Semasa A. Samad Ismail berada dalam tahanan, beliau telah dilantik menjadi penolong khas kepada Pengarang Kumpulan The New Straits Times di samping menjalankan tugasnya sebagai Pengarang Berita Harian.  Tetapi Samad menyedari bahawa minatnya dalam bidang penulisan dan tanggungjawab yang besar yang diamanahkan kepadanya boleh merugikan, bukan sahaja bakat dan kreativitinya, tetapi dunia kesusasteraan umumnya.  Justeru, Samad Said minta dibebaskan daripada menjadi Pengarang Berita Harian dan mulai 8 Mac 1978 Samad bertugas sebagai seorang daripada enam orang penolong khas dengan tugas-tugas tertentu seperti menulis rencana pengarang dan artikel feature.  Sejak akhir 1981, beliau bertugas sebagai Ketua Pengarang akhbar Warta Teberau.  Jawatan terakhir A. Samad Said ialah sebagai Ketua Pengembangan Sastera dalam Kumpulan Akhbar The New Straits Times, Kuala Lumpur. Kini A. Samad Said menumpukan seluruh masa dan perhatiannya kepada bidang penulisan.

Isterinya, penyair Salmi Manja, seorang penulis yang cukup dikenal oleh peminat-peminat sastera.  Seperti Samad, Salmi juga menulis sajak dan cereka.

Kejayaan A. Samad Said sebagai sasterawan ialah hasil daripada pengalamannya dan berkat kerajinannya membaca karya-karya orang lain.  Dalam karya Samad kita melihat ketelitian dan kecermatannya sebagai pengarang.  Beliau bukan sahaja begitu cermat dan teliti menghadapi dan membentuk watak-watak, tetapi juga terhadap alam, benda hidup dan mati, yang menjadi latar ceritanya.  Beliau seolah-olah mencari erti dalam semuanya itu.  Samad juga sedar bahawa untuk melahirkan karya yang bererti, seseorang tidak hanya bergantung kepada bahan dan bakat kekuatan fikiran sahaja, tetapi pembacaan dan pengalaman yang luas amatlah penting.  Kerana itu, Samad meluaskan pembacaannya kepada bidang politik, sosiologi, ekonomi dan psikologi serta karya-karya besar Li Po, Tu Po dan Rabindranath Tagore.  Cara beliau membaca agak aneh, yakni dengan menggaris atau menanda ayat-ayat, dialog-dialog atau ungkapan-ungkapan yang menarik dalam prosa, novel, dan malahan puisi.  Ini memperlihatkan betapa teliti pembacaan dan pemerhatiannya.  Sikap telitinya ini terpancar juga pada deskripsi dan dalam dialog-dialog karyanya.

Sungguhpun Samad sangat mengutamakan nilai sastera, beliau tidak pula menolak konsep “Seni untuk Masyarakat”, malah puisinya yang pertama diberinya judul “Untuk Angkatan 50” yang tersiar dalam Utusan Zaman (1950).  Samad sendiri pernah menjadi anggota ASAS 50, badan penulis yang bergerak dengan slogan, “Seni untuk Masyarakat “, tetapi pendekatan Samad berbeza daripada penulis-penulis lain.  Beliau berhasil memadukan tugas sastera dengan nilai yang diperlukan.  Beliau dianggap sebagai tokoh yang menghubungkan sasterawan-sasterawan 50-an yang mementingkan tema dan mesej dengan sasterawan-sasterawan generasi kemudiannya yang lebih cenderung menekankan nilai dalam kesusasteraan.

Meskipun Samad lahir di tengah-tengah Angkatan 50, tetapi daya ciptaannya berbeza daripada tokoh-tokoh ASAS 50 yang lain.  Hal ini demikian kerana, beliau dibesarkan di kota kosmopolitan Singapura, terdidik secara formal dalam bahasa Melayu dan Inggeris, dan tidak pernah secara aktif terlibat dalam perjuangan politik atau ideologi yang menentang penjajah.  Tokoh-tokoh lain itu terlibat dengan perjuangan membebaskan masyarakat, karya mereka berlatarbelakangkan daerah pedesaan dan rakyat, lebih banyak terdedah kepada bahan bacaan dari Indonesia, dan yang secara sedar, menjadikan sastera sebagai alat kedua dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.  Walaupun Samad bergaul dengan mereka dalam satu periode yang sama dan mempunyai latar belakang dan pendidikan yang berbeza,  namun Samad cuba menyamakan cita-cita sasteranya dengan mereka tetapi membezakan dirinya dari segi stail dan pencapaian.

Novel pertamanya, yang asalnya berjudul Gerhana  kemudian diterbitkan dengan judul Salina ialah sebuah novel yang tebal dan berjaya mengangkat martabat kesusasteraan Melayu ke tahap yang disifatkan oleh Profesor A.  Teeuw dan sesetengah sarjana sebagai bertaraf antarabangsa.  Novel yang hanya memenangi hadiah penghargaan dalam peraduan penulisan novel anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (1958) dan yang dihasilkan oleh Samad sewaktu beliau baru berusia 23 tahun ini, akhirnya menjadi sebuah karya yang menjadi garis pemisah antara karya-karya penulis lama dengan baru dan antara Samad dengan penulis-penulis 50-an.

Salina menceritakan kehidupan masyarakat terutama orang Melayu di Kampung Kambing, Singapura selepas Perang Dunia Kedua.  Ia menggambarkan kemiskinan, keruntuhan moral di kota, dan pergelutan untuk mempertahankan peribadi di tengah-tengah kebobrokan.  Ini bukanlah persoalan yang sama sekali asing dalam kesusasteraan Melayu, tetapi Samad telah memperlihatkan kebolehan seninya dengan melukiskan semua hal ini secara artistik melalui dialog-dialog dan tingkah laku watak-wataknya.  Manusia yang lahir dalam Salina ialah manusia yang natural bukannya yang menjelma sebagai boneka dengan sifat-sifat hitam putihnya.  Novel ini telah diadaptasi menjadi bentuk teater oleh dramatis Johan Jaaffar dan dipentaskan sempena Pesta Kesenian Kuala Lumpur (1986), dan kemudiannya di Singapura.

Seperti Salina, novelnya Sungai Mengalir Lesu juga menampilkan pengalaman langsung Samad dalam masyarakat yang menderita akibat perang.  Pemerintahan Jepun yang singkat di Singapura dan penderitaan masyarakat akibat perang, memberikan kesan yang cukup kuat dalam diri Samad yang pada masa itu masih kanak-kanak lagi.  Beliau mengutip kembali butir-butir pengalaman itu untuk menceritakan keadaan orang Melayu dan orang Indonesia yang hidup melarat dan menjadi buruh di Singapura.

Di samping novel, Samad juga memperlihatkan kekuatannya dalam penulisan puisi seperti yang terkumpul dalam kumpulan Liar  di Api.  Beliau antara penulis  yang terawal melakukan eksperimen dalam sajak-sajak bebas.  Selepas itu, beberapa buah lagi kumpulan puisinya telah diterbitkan seperti Benih Harapan (1973), Daun Semalu Pucuk Paku (1975) dan Benih Semalu (1984).

Samad memberikan banyak waktu untuk menulis beberapa buah lagi novelnya seperti Di Hadapan Pulau. Langit Petang dan Daerah Zeni.  Sebuah buku tentang latar belakang pengalamannya menulis Salina, Sungai Mengalir Lesu dan Langit Petang telah diterbitkan, berjudul Dari Salina ke Langit Petang. Ia merupakan hasil tulisan bercorak autobiografi, rakaman pengalaman Samad yang menceritakan bagaimana beliau lahir menjadi seorang pengarang dan proses penghasilan tiga buah novelnya yang penting itu.

Pencapaian dan sumbangan Samad Said dalam memperkaya dan meninggikan nilai kesusasteraan Melayu telah mendapat penghargaan pemerintah apabila pada 29 Mei 1976, bersama-sama beberapa pengarang lain, beliau diiktiraf sebagai Pejuang Sastera.  Tahun 1979, juga turut memberi erti kepada Samad, apabila beliau dilantik oleh Perdana Menteri sebagai salah seorang anggota panel Anugerah Sastera dan dalam tahun yang sama, beliau telah dipilih menerima Hadiah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A. Write Awards).  Kemuncak pencapaian Samad sebagai sasterawan ialah apabila beliau dinobatkan sebagai Sasterawan Negara 1985. Dalam majlis penganugerahan itu, telah dipentaskan sedutan drama terbaru A. Samad Said berjudul Wira Bukit.  Dalam tahun 1993, A. Samad Said menerima Anugerah ASEAN    1993 (Kategori Sastera) daripada Negara Brunei Darulsalam.

Selain pengiktirafan dalam bidang sastera, A. Samad Said juga telah dianugerahkan darjah kebesaran Negeri Melaka yang membawa gelaran `Datuk’ dalam tahun 1997 oleh Yang Dipertua Negeri Melaka.


KARYA

Novel

-Salina Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka 1961, 495 hlm.
-Bulan Tak Bermadu di Fatehpur Sikir,  Melaka:  Penerbitan Abbas Bandung, 1966, 103 hlm. 
-Sungai Mengalir Lesu, Kuala Lumpur:  Pustaka Gunung Tahan, 1967, 135 hlm.  Diterbitkan kembali oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, 1984, 137 hlm.
-Di Hadapan Pulau, Kuala Lumpur : Pustaka Sistem Pendidikan, 1978, 129 hlm.
-Adik DatangKuala Lumpur:  Penerbitan Adabi Sdn. Bhd., 1980, 220 hlm.
-Langit PetangKuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1980, 143 hlm.
-Daerah ZeniPetaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.; 1985, 182 hlm. 
-Hujan PagiKuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992, 418 hlm.
-Cinta FansuriPetaling Jaya:  Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.; 1994, 156 hlm.

Novel Remaja Kanak-kanak

-Bendera Merah di Atas BukitKuala Lumpur: Pustaka Melayu Baru, 1968, 79 hlm.
-Lima Kawan ke Rumah RahsiaKluang:  Pustaka Pendidikan Sdn. Bhd., 1968, 101 hlm.
-Jangan Ikut Jalan IniSingapura: Pustaka Nasional, 1969, 101 hlm.
-Mengejar Tetamu di Waktu SenjaKuala Lumpur: Pustaka Melayu Baru, 1974, 94 hlm.
-Yang Berat Sama Dipikul, Singapura:  Pustaka Nasional, 1969, 85 hlm.
-KeledangKuala Lumpur; Mac Millan Publishers Ltd., 1979, 143 hlm.
-Antara Kabus ke KabusKuala Lumpur: Pustaka Melayu Baru, 1980, 67 hlm.
-Di Simpang Jalan, Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka, 1980, 95 hlm.
-Jalan RetakKuala Lumpur:  Pustaka Melayu Baru, 1980, 65 hlm.

Cerpen

-Liar di ApiKuala Lumpur: Penerbitan Federal Berhad. t.th., 183 hlm.
-Daun-daun Berguguran (bersama Salmi Manja), Kuala Lumpur: Penerbitan Federal Berhad, 1962, 152 hlm.
-Debar PertamaKuala Lumpur:  Penerbitan Federal Berhad, 1964, 76 hlm.
-Ke Mana Terbangnya Si Burung Senja?,  Kuala Lumpur:  Pustaka Melayu Baru, 1966, 118 hlm.
-Panorama (Peny.), Kuala Lumpur: Penerbitan Federal Berhad, 1966, 112 hlm.
-Bunga Gunung (Peny.) Kuala Lumpur: Berita Publishing Sdn. Bhd., 1982, 153 hlm.
-Angin Pulau (antologi bersama), Kuala Lumpur: Teks Publishing  Sdn. Bhd. 1985, 153 hlm.
-Angin Pulau (antologi bersama), Petaling Jaya:  Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 339 hlm.
-Titisan Indah di Bumi Merkah (antologi bersama), Petaling Jaya:  Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1985, 405 hlm.
-Hati Muda Bulan Muda:  Kumpulan Cerpen 1954 – 1992 (Peny. Othman Puteh), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1993,495 hlm.

Puisi

-Liar di Api Kuala Lumpur: Penerbitan Federal Berhad. t.th., 183 hlm.
-Puisi Baru Melayu 1942 – 1960 (antologi bersama), Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka, 1961, 26 hlm.
-Daun-daun Berguguran (bersama Salmi Manja), Kuala Lumpur: Penerbitan Federal Berhad, 1962, 152 hlm.
-Sajak-sajak Melayu Baru 1946 – 1961/Modern Malay Verse 1946-1961 (dwibahasa), (antologi bersama), Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1969 (cetakan keempat), 135 hlm.  Cetakan pertama 1963.
-Benih HarapanKuala Lumpur: Grafika Sendirian Berhad, 1973, 24 hlm.
-Daun Semalu Pucuk PakuKuala Lumpur: Balai Penerbitan Nusa, 1975, 39 hlm.;
-Kuala Lumpur (antologi bersama), Kuala Lumpur: GAPENA, 1975, 57 hlm.
-Pilihan Puisi Baru Malaysia-Indonesia (anatologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1980, 314 hlm.
-Puisi-puisi Nusantara (antologi bersama), Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981, 294 hlm.
-Benih SemaluKuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka, 1984, 69 hlm. (cantuman dua antologi: Benih Harapan dan Daun Semalu Pucuk Paku).
-Bintang Mengerdip (antologi bersama), Kuala Lumur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1984, 75 hlm.
-100 Sajak Malaysia (antologi bersama), Kuala Lumpur: Tra-Tra Publishing & Trading Sdn. Bhd., 1984, 141 hlm.
-Bunga Gerimis (antologi bersama), Petaling Jaya, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1986, 132 hlm.
-Puisirama Merdeka (antologi bersama), Kuala Lumpur: PENA, 1986, 141 hlm.
-Malaysia dalam PuisiKuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988, 316 hlm.
-An Anthology of Contemporary Malaysian Literature (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988, 413 hlm.
-Kumpulan Puisi Malaysia/Malaysian Poetry (1975 – 1985) (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988, 167 hlm.
-Puisi Baharu Melayu (1961-1986) (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990, 941 hlm.
-Balada Hilang PetaKuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka, 1993, 69 hlm.
-Suara Rasa/Voice from Within (antologi bersama), Kuala Lumpur: Maybank, 1993, 228 hlm.

Drama

-Di Mana Bulan Selalu RetakSingapura: Malaysia Publication Ltd. 1965, 135 hlm.
-Ke Mana Terbangnya Si Burung SenjaKuala Lumpur: Pustaka Melayu Baru, 1966, 118 hlm.
-Wira Bukit, Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986, 92 hlm.
-Lantai T. PinkieKuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1996, 137 hlm.
-Lazri Meon Daerah ZeniKuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992, 138 hlm.

Esei/Kritikan

-Tema dan Tugas Sastera Melayu Moden (bersama Usman Awang), Kuala Lumpur:  Penerbitan Federal Berhad, 1963, 199 hlm.
-Damai (kata pengantar), Kuala Lumpur:  Penerbitan Federal Berhad, 1966, 136 hlm.
-Laungan (Kata pengantar), Kuala Lumpur: Penerbitan Federal Berhad, 1962, 152 hlm.
-Tangan yang Simpatik, Kuala Lumpur: Penerbitan Adabi Sdn. Bhd., 1981, 279 hlm.
-Between Art and Reality (Selected Essays), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1994, 479 hlm.

Autobiografi

-Dari Salina ke Langit PetangKuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1979, 83 hlm.

Umum

-Warkah kepada Salmi Manja, Kuala Lumpur:  Penerbitan Federal Berhad, 1965, 68 hlm.
-Antara Bulan dan WiraKuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka, 1989, 632 hlm.
-Warkah EropahKuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991, 235 hlm.
-Koleksi Terpilih A. Samad Said (Peny. Sarah Sadon), Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995, 510 hlm.

Pautan

-   Koleksi/direktori penulis: A. Samad said
-  Dunia Penyair: biografi
-  Dunia penyair: Syair Pesanan Ayahanda
-  Syair oleh A. Samad Said: Tetamu senja
-  A. Samad Said: Karya
-  Buku dari kaca mata ku: cinta baru